Sunday, 18 December 2016

Hati Yang Telah Berubah

Wahai sahabat-sahabat yang sedang meneliti laman blog ini, satu lagi perkongsian ingin saya bawakan kepada anda. Dan perkongsian kali ini lebih ditekankan kepada anda semua yang bergelar umat Islam. Muslimin dan muslimat, ayuh sama-sama kita menghayati perkongsian kali ini.

Saat ini, saya sedang menaip satu bingkisan untuk dikongsikan. Hari ini adalah 19 Disember 2016. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal meninggalkan fasa 2016 dan akan berhijrah ke alaf baru.

Bercerita sahaja tentang alaf baru, saya pasti anda di luar sana telah pun mempersiapkan diri untuk mengharungi tahun baru. Semestinya semangat itu dirasai oleh setiap orang. Semuanya akan menjadi baru. Azam baru, baju baru, handphone baru, dan banyak lagi. Sungguh tidak dinafikan, keterujaan itu mendorong kita untuk menjadi insan yang lebih baik pada hari-hari yang bakal ditempuhi. Alhamdulillah.. Tahniah dan syabas buat anda.

Pembangunan makin rancak. Ekonomi semakin stabil. Orang kita semakin bergaya. Teknologi semakin canggih. Ini satu perubahan yang sangat positif sebenarnya. Satu perubahan yang harus dibanggakan kerana kita telah pun membina tamadun manusia yang seiring dengan peredaran masa.

Bercerita tentang perubahan, kita telah melihat hebatnya perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Tapi sayang, dalam kita menyanjungi perubahan yang kini berlaku, mungkin ramai antara kita semua tidak menyedari berlakunya perubahan yang tidak seharusnya terjadi dan membawa satu kesan yang tidak baik buat insan beragama Islam. Tetapi hakikatnya, ia sedang berlaku. Semakin lama, perubahan ini menyelinap masuk ke dalam jiwa orang Islam hingga akhirnya mengubah diri kita keseluruhannya.

Perubahan itu tak jauh, ia sangat dekat dengan diri kita. Kerana ianya berlaku pada diri kita sendiri. Tak percaya? Jangan cakap tak percaya. Nilai diri anda sendiri.

Fikir sedalam-dalamnya. Anda kini berubah mengikut fashion yang kini trending, berubah menjadi seorang yang lengkap kehidupannya dengan dikurniakan kemewahan yang tidak terjangkau.

Tapi anda harus ingat. Perubahan yang terjadi ini juga, punca kepada berubahnya hati anda. Ya! Inilah kebenarannya! Hati kita telah berubah! Inilah sesuatu perubahan yang dekat, tapi kita tak pernah fahami dan tak pernah sedari.

Dari miskin menjadi kaya. Yes! Kita berubah.
Tapi kayakah hati kita dengan amalan?
Kayakah hati kita dengan zikir kepada Allah?
Kayakah hati kita dengan menjunjung selawat kepada baginda Rasulullah?
Kayakah hati kita dengan cahaya iman?
Kayakah hati kita dengan cinta terhadap Allah?

Berubahkah kita?

Dari memakai baju lusuh, kita sekarang pakai baju berjenama. Brand yang trending. Yes! Kita berubah.
Tapi dari longgar menjadi ketat.
Dari labuh menjadi singkat.
Dari sopan kini menjolok mata.
Inikah yang dikatakan perubahan yang baik?
Berpakaian tidak mengikut syariat.

Berubahkah kita?

Dari kerja sebagai kuli, kini kerjaya memang cenggini..
Semua bisnes, tender, memang tak lupa.
Tapi lupakah kita bahawa kita ada Allah?
Lupakah kita rezeki itu milik Allah?
Lupakah kita hanya amalan dibawa bersama ketika di alam kubur?
Lupakah kita cinta pada harta tidak ke mana-mana?
Lupakah kita solat itu utama?
Lupakah kita siapa diri kita?

Hah? Ini dia.. Kita berubah..
Kalau dulu solat kita tak tinggal, tapi sekarang sejadah pon kita tak tau kita letak kat mana. Ini dia manusia di pengakhiran zaman. Kita berubah dengan melupakan Allah. Kita berubah dengan menjadikan duniawi sebagai Tuhan. Kita berubah dengan bersikap sombong kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

Bukankah Allah telah berfirman,
"Jika kau mengingati Aku, Aku akan mengingati kau"
Tapi manusia berubah kerana lupakan Allah. Lupa bahawa kita adalah hambaNya.

Ramai yang berkata, tiada masa untuk beribadah. Kerja banyak sangat. Ini satu lagi perihal yang kita lupa.
"SEKIRANYA KITA MENGATURKAN MASA UNTUK ALLAH, ALLAH AKAN MENGATURKAN MASA UNTUK KITA. SESUNGGUHNYA ALLAH ITU SEBAIK-BAIK PENGATUR"

Jadi katakanlah, yang mana satu nikmat-nikmat Allah yang kamu hendak dustakan?

Janganlah kita menjadi orang yang lupa pada Allah. Jangan sombong dengan Allah.

Bimbang nanti kau akan tewas dengan keegoaan sendiri kerana hanya menyaksikan duniawi sebagai matlamat diri sedang akhirat sentiasa menanti.

Bekerjalah seperti kita akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beribadahlah seperti kita akan mati esok.

Ayuh! Kalau kita hendak berubah, ubahlah juga hati agar sentiasa dekat dan ingat kepada Allah.

Allah bersama kita, Allah tidak memilih kasih, jadi siapa kita untuk meminggirkanNya? Berkuasakah kita?

Hanya pada Allah jua tempat kembalinya kita. Hanya pada Allah jua tempat kita bergantung.

Moga kita terus istiqamah untuk menjadi insan teristimewa di sisi Allah. Moga-moga kitalah hamba Allah yang berada di bawah limpahan kasih sayangNya yang tidak terbatas. Berdoalah agar kita dikurniakan mahligai syurga serta dipermudahkan urusan di hari perhitungan.

Wallahualam. Assalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment