Satu situasi yang mana kita meletakkan diri kita pada diri orang lain. Bila orang mengadu, mengeluh, bersedih, kita juga merasai apa yang dirinya rasai. Tapi, perasaan yang kita cuba rasai, takkan pernah sama dengan perasaan si yang benar-benar merasai. Kalau kita tumpang gembira, orang yang meraikan kegembiraan itu sudah pon melonjak-lonjak. Kalau kita turut rasa simpati pada nasib seseorang, orang yang kurang bernasib baik itu sejuta kali lebih terasa peritnya. Mungkin ini tak mampu untuk menyelesaikan masalah. Tapi, sekurang-kurangnya, perkongsian pada kali ini lebih kepada pendekatan hati ke hati agar wujud rasa memahami, agar beban itu dapat dipikul bersama.
Duhai para hati yang sedang berduka,
Jika kamu sedang membaca ini, saya cuba untuk berada di tempat awak. Peritkan kesedihan? Dugaan yang hadir tu kadang-kadang sesuatu yang kita tak terlintas pun pada kotak fikiran kita untuk berlaku. Namun ia tetap berlaku, dan dugaan itu memang berat untuk ditanggung. Bagaikan memikul sebuah batu sebesar bukit. Tak terdaya. Benar kan?
Hati ini tidak kuat. Tak mampu untuk tanggung dugaan ini. Kenapa aku yang harus menanggungnya?
Persoalan demi persoalan mula hadir tatkala hati sedang bergolak. Dugaan yang membuatkan diri hendak rebah ke bumi, dugaan yang menyebabkan titisan air mata membasahi pipi, dugaan yang membuat diri ini menyerah kalah. Tersungkur di pertengahan masa.
Wahai hati yang berduka,
Maaf kerana di sini, tak mampu untuk ku bantu merawat hatimu itu. Tapi ingin ku katakan, setiap dugaan itu hadirnya dari Sang Pencipta. Dugaan itu hadir kerana Dia sayangkan kita. Dugaan itu bagaikan satu utusan untuk kita kembali ingat kepadaNya.
Saat kamu lemah dengan dugaan itu, carilah kekuatan. Carilah ketenangan. Jangan sibukkan diri dengan perkara yang makin menyerabutkan. Kalau kita nak lawan dugaan itu, lawanlah ia dengan baik iaitu kuatkan semangat. Hati mesti kental.
Kemudian, sentiasalah berfikiran positif. Positif dengan mengatakan, "aku mampu atasi semua ini". Positif adalah satu terapi minda. Minda yang dikawal dengan baik akan mempengaruhi perasaan yang bergolak itu agar kembali tenang.
Kalau nak lihat orang lain kuat, kuatkan hatimu terlebih dahulu. Everything will just be fine.
Berserahlah kepada takdir. Jika kita percaya akan ketentuanNya, moga2 kita tidak jatuh kerana dugaan yang hanya sedikit di muka bumi ini. Mudah-mudahan, sesuatu perkara yang baik akan tiba suatu hari nanti. Teruskan berdoa sesuatu yang baik. Teruskan yakin dengan diri. Kesedihan itu akan hilang.
Sesungguhnya, Dia Maha Adil. Segala yang buruk yang kita tempuhi dengan rasa kesabaran, In Shaa Allah, Allah akan gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Malah, mungkin ia akan hadir sebagai sesuatu yang luar dari jangkaan.
Aku bersamamu, kami bersamamu..
Lap lah air mata kedukaan itu kerana orang di sekelilingmu bersedia di belakang kamu.
Ukirlah satu senyuman. Kebahagiaan itu akan tiba.
No comments:
Post a Comment